Tinggal kurang 30 hari saja lagi sebelum tahun ini berakhir dan berganti masuk tahun yang baru.

Begitu cepat sekali masa berlalu. Sedar tidak sedar, kita sudah berada dalam minggu-minggu terakhir tahun 2014; tidak lama lagi, kita akan menyambut tahun 2015.

Ini masa yang terbaik untuk kita menoleh sejenak ke belakang melihat apa yang sudah atau belum kita capai secara peribadi, atau sebagai sebuah masyarakat, atau sebagai sebuah negara.

Ada yang masih belum berubah -- masih di takuk lama. Tetapi ada juga yang sudah menampakkan pembaharuan dan pencapaian, biarpun mungkin tidak pada orang lain.

Tidak mengapalah. Orang membuat ukuran dengan pengalaman peribadi mereka sendiri. Pengalaman mereka itu tidak mungkin sama dengan pengalaman kita.

Sekiranya berjaya dan ada pembaharuan, kita tentunya gembira. Tetapi sekiranya masih begitu, begitu juga, kita selalunya meletakkan harapan bahawa perubahan itu akan kita capai pada tahun yang baru.

Begitulah, setiap kali datang tahun baru, kita membuat janji yang baru, azam yang baru. Tetapi apakah janji dan azam tahun 2014 sudah kita penuhi?

Tetapi ini bukan saja soal janji kita kepada diri sendiri. Ini juga tentang janji orang lain kepada kita, termasuk janji pemimpin kepada pengundi dan janji negara kepada rakyat.

Apakah kita kini lebih matang berbanding setahun yang lalu? Apakah sesuatu itu lebih baik sekarang berbanding sebelum ini? Apakah hal-hal yang sepatutnya diselesaikan dalam tempoh setahun ini sudah diselesaikan sebelum datangnya tahun baru?

Sebelum masuk 2015, eloklah semua itu kita usaha selesaikan segera.

Kirimkan kepada kami pandangan anda tentang pembaharuan, pencapaian dan kejayaan yang membanggakan sepanjang tahun 2014 ini.

Kirimkan juga pandangan anda, kekecewaan dan harapan baru untuk tahun 2015 nanti. Boleh saja tentang diri anda sendiri -- moga jadi panduan kepada orang lain. Boleh jadi juga tentang masyarakat dan negara ini -- agar kita boleh berusaha untuk memperbaikinya bersama-sama.

Kirimkan pandangan anda kepada feedback@astroawani.com dengan tajuk #sebelum2015. Pandangan terpilih akan kami siarkan di laman web ini.