Sebahagian lorong berhampiran persimpangan Jalan Ulu Langat yang bersambung dengan Lebuhraya Cheras Kajang (Grand Saga) (Exit 703) akan ditutup sementara pada sebelah malam dari 16 Julai hingga 16 Okt.

Menurut kenyataan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), penutupan bermula 9 malam hingga 4 pagi itu akan dilaksana secara berperingkat membabitkan satu lorong pada setiap masa bagi memudahkan kerja persediaan bagi pembinaan tiang MRT.

"Satu pelan pengurusan trafik yang komprehensif telah dikaji oleh Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi memastikan gangguan minimun terhadap lalu lintas.

"Penutupan itu adalah sebahagian penting amalan keselamatan kami di semua tapak pembinaan MRT dan akan memastikan bahawa sebarang risiko kecederaan terhadap orang awam dapat diminimumkan," katanya.

Oleh itu, MRT Corp menasihatkan pengguna agar memandu dengan berhati-hati berhampiran tapak pembinaan MRT dan mematuhi tanda arah.

Kenyataan itu menyebut halangan keselamatan, dinding adang dan kon trafik akan dipasang di tapak pembinaan bagi memastikan pengguna dan pejalan kaki menyedari kerja yang sedang dijalankan.

Selain itu, MRT Ronda akan bertugas 24 jam di sepanjang laluan bagi membantu sebarang kecemasan.
Terdapat 31 stesen di Laluan Sungai Buloh-Kajang yang akan memberi perkhidmatan pengangkutan kepada 1.2 juta pengguna.

Ia juga akan berintegrasi secara strategik dengan rangkaian pengangkutan tren sedia ada seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan KTM Komuter selain laluan bas bandar serta antara bandar.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang MRT www.mrt.com.my atau www.mymrt-underground.com.my, Twitter @MRTMalaysia atau Twitter @MyMRT Underground atau hubungi talian 1-800-82-6868.