KUALA LUMPUR: “Saya tidak pernah tinggal Pahang, my heart is always here..”

Demikian titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika ditanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI berkaitan perancangan baginda tentang pembangunan negeri itu.

Malah, baginda turut menzahirkan perancangan untuk mengadakan kembara atau 'roadshow' di negeri itu pada bulan April nanti.

“Saya tidak pernah tinggal Pahang, I never left Pahang, my heart is always here, memang saya banyak program sekembalinya saya ke sini (Pahang) dan saya telah meninjau semua daerah-daerah, kampung-kampung dan mendapat sambutan yang baik dan saya akan meneruskannya.

“Bulan puasa ini juga saya akan meninjau ke masjid-masjid di beberapa daerah bersama dengan rakyat saya, selepas itu bulan April, ada satu lagi program roadshow pula.

“Saya akan mengadakan kembara juga, di persisiran sungai, dan ini perkara yang baru. Malah satu lagi program sama juga pada bulan September, Insya-Allah,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah sebelum ini menyifatkan Kembara Kenali Borneo bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai satu pengalaman manis yang tidak akan dilupakan.

Baginda berdua berkonvoi sejauh 2,332 km merentasi Sabah, Sarawak, dan Brunei, memandu sendiri melalui Lebuhraya Pan Borneo.

Sepanjang 11 hari perjalanan, baginda singgah di 27 lokasi, bertemu rakyat pelbagai kaum, serta melihat sendiri keadaan infrastruktur di kedua-dua negeri itu.