KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd Tan Sri Ismee Ismail menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau adalah 'boneka' Datuk Seri Najib Tun Razak dalam melaksanakan strategi pelaburan syarikat itu.

Ismee, 59, yang dilantik oleh Najib, turut memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai nombor telefon peribadi bekas Perdana Menteri itu dan mereka tidak pernah bertemu untuk membincangkan hal syarikat sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan SRC International.

Beliau berkata demikian ketika disoal oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib pada prosiding kes saman US$1.18 bilion yang difailkan SRC International terhadap bekas Perdana Menteri itu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan iaitu Nik Faisal Ariff Kamil yang telah melarikan diri ke luar negara pada 2018.

Harvinderjit: Apa sahaja yang beliau (Najib) beritahu anda, anda tidak pernah persoal, anda hanya mengikut sahaja dan inilah yang berlaku dalam SRC?

Ismee: Saya tidak rasa begitu.

Harvinderjit: Adakah anda memiliki nombor telefon peribadi beliau?

Ismee: Tidak.

Sementara itu, dalam pernyataan saksinya yang dikemukakan kepada mahkamah hari ini, Ismee menjelaskan bahawa pemindahan pinjaman berjumlah RM3.6 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC BVI, anak syarikat SRC International, adalah keputusan yang dibuat oleh Najib menerusi resolusi pemegang saham.

Ini kerana Najib adalah pemegang saham tunggal dan penasihat emeritus SRC International.

Untuk rekod, SRC International membuat pinjaman sebanyak RM4 bilion daripada KWAP antara 2011 dan 2012 dan daripada jumlah itu, sebanyak RM3.6 bilion telah dipindahkan ke akaun bank di Switzerland yang kini dibekukan oleh pihak berkuasa negara itu.

SRC International sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu termasuk Ismee dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

Di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021 dengan mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Ia memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami syarikat itu akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut beliau membayar pampasan sebanyak RM42 juta bagi kerugian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.

-- BERNAMA