Satu lagi kluster baharu COVID-19 dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan pendatang tanpa izin (Pati) di Kunak, Sabah, dikenali Kluster Laut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster (kes ke-9859) itu merupakan seorang tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau yang dihantar pulang ke negara asalnya di Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos lalu.

"Namun pada 5 September lalu individu itu menyusup masuk semula ke Sabah melalui jalan tikus untuk melawat isterinya.

"Isteri (kes indeks) (iaitu kes ke-9860) pula dikesan positif COVID-19 pada 8 Sept semasa saringan rujukan dari Hospital Kunak ke Hospital Tawau bagi rawatan lanjut komplikasi pendarahan selepas bersalin," katanya dalam kenyataan berkaitan COVID-19 di sini pada Sabtu.

BACA: COVID-19: 58 kes baharu dilapor, Kluster Laut pula dikenal pasti

Dr Noor Hisham berkata, hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat, dua lagi kes positif COVID-19 dikesan, iaitu anak dan jiran kes indeks (kes ke-9861 dan kes ke-9862).

"Sehingga hari ini, seramai 49 individu telah disaring dalam kluster tersebut dan kesemua saringan melibatkan warganegara Filipina.

"Daripada jumlah itu, empat kes dikesan positif, 14 individu negatif dan 31 individu lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan giat dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan," tambahnya.