KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak tidak membenarkan sebarang aktiviti sambutan pratahun baharu kerana negeri itu masih berada dalam Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara dengan masa beroperasi semua premis dihadkan hingga 12 tengah malam.

JPBN Sarawak dalam kenyataan semalam memaklumkan operator premis perniagaan yang didapati tidak mematuhi arahan itu akan dikenakan tindakan kompaun dan pihak penguatkuasa akan mempertingkat operasi bersepadu untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Sektor pusat permainan kanak-kanak (arked) di pusat membeli-belah pula dibenarkan beroperasi mulai 1 Jan 2022 dengan mematuhi SOP yang disediakan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.

"Operator pusat permainan kanak-kanak perlu memohon kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum dibenarkan memulakan operasi," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA