KUALA LUMPUR:Majlis Islam Sarawak (MIS) memutuskan semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau di bahagian yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu ditangguhkan.

Perkara berkenaan antara yang diputuskan MIS berdasarkan perkembangan semasa wabak COVID-19 dan keputusan Kerajaan Negeri Sarawak yang mengumumkan PKPB di seluruh negeri itu selama 14 hari bermula 18 Januari hingga 31 Januari ini.

Baca: Sarawak laksanakan PKPB selama 14 hari bermula Isnin depan

“Antara aktiviti pengimarahan yang ditangguhkan termasuk ceramah, kuliah, kursus kelas dan bengkel.” menurut kenyataan berkenaan.

MIS pada masa sama memaklumkan solat Jumaat dan solat fardhu masih boleh dilakukan di masjid atau surau dengan jumlah jemaah terhad.

“Bilangan jemaah perlu mengikut kapasiti sedia ada masjid atau surau dengan penjarakan fizikal tidak melebihi 200 orang kecuali Masjid Jamek Negeri Sarawak dengan had jemaah tidak melebihi  300 orang,” jelas MIS.

Arahan berkenaan berkuatkuasa mulai 22 Januari sehingga PKPB ditamatkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak atau arahan selanjutnya oleh MIS.

Untuk rekod seluruh Sarawak diletakkan di bawah PKPB kecuali Sibu yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Baca: PKP dilaksanakan di Bahagian Sibu bermula 16 Januari ini

Notis yang dikeluarkan Majlis Islam Sarawak (MIS) bertarikh 21 Januari 2021