KUCHING: Kerajaan Sarawak komited dalam menyokong pertumbuhan industri kreatif di negeri ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II Datuk Snowdan Lawan.

Beliau berkata kerajaan mengiktiraf potensi bakat dalam bidang kreatif yang ada di negeri ini dan berusaha untuk menyediakan sumber, infrastruktur, dan platform yang diperlukan untuk memperkasakan mereka.

"Melalui inisiatif seperti ini, kita berhasrat untuk menampilkan apa yang terbaik dari Sarawak kepada dunia dan memberi inspirasi untuk lebih ramai lagi terbabit dalam industri ini.

"Kami mengharapkan Sarawak menjadi hab utama bagi industri filem pada masa hadapan. Dengan pemandangan yang menakjubkan dan panorama yang pelbagai, Sarawak adalah lokasi ideal bagi penggambaran dokumentari, filem aksi dan pelbagai projek sinematik yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan penggambaran Love Crush, filem Indie pertama di sini semalam.

Snowdan berkata kementeriannya turut menyediakan pembiayaan dana kepada individu dan organisasi dalam industri kreatif untuk mencungkil serta membangunkan bakat yang ada menerusi bengkel mahupun program latihan.

"Agensi pencari bakat boleh menganjurkan pelbagai bengkel yang melibatkan pakar profesional dari Semenanjung serta pelakon tempatan dan antarabangsa, yang akan mengajar dan membimbing peserta. Ini memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk belajar bagaimana menjadi artis atau pelakon yang berjaya," katanya.

Beliau berkata dana yang tersedia adalah sebanyak RM10 juta setahun dan terbuka kepada semua dalam industri kreatif, termasuk pembuat filem yang ingin mempromosikan sebarang projek berkaitan Sarawak seperti dokumentari.

"Dengan pelbagai peluang ini, kami berharap dapat menyokong pertumbuhan dan pembangunan industri kreatif di Sarawak serta mempromosikan keunikan dan kecantikan negeri ini kepada dunia," katanya.

Sementara itu, penerbit Love Crush, Johan Chairil berkata 80 peratus daripada kru dan bakat dalam penghasilan filem tersebut terdiri daripada rakyat Sarawak sekali gus membuktikan negeri ini mempunyai ramai individu berbakat.

"Saya percaya kita perlu memberi tumpuan kepada usaha mencipta lebih banyak peluang bagi penerbit yang ingin menampilkan cerita tentang Sarawak dan membawanya ke pentas global. Dengan membimbing dan memperkasakan penerbit tempatan, kita dapat membuka potensi sebenar ekosistem kreatif Sarawak," katanya.


-- BERNAMA