KUCHING:Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) untuk menilai kesediaan kemudahan tempat penyimpanan vaksin COVID-19 di Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jawatankuasa khas itu juga akan memastikan proses logistik vaksin berkenaan di seluruh negeri itu mencukupi serta mengikut spesifikasi ditetapkan.

Malah beberapa faktor perlu diambil kira termasuk infrastruktur dan demografi setiap kawasan di Sarawak terutama kawasan pedalaman.

“Pasukan itu diketuai Datuk Andrew Kiyu dan Datuk Dr Jamilah Hashim dan Dr Chin Zin Hing (Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak). Pasukan ini akan membuat cadangan kepada kerajaan negeri apa kemudahan yang perlu disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Rabu.

BACA: COVID-19: Vaksin percuma kepada rakyat Sarawak

Selain itu, Uggah berkata, segala persiapan tersebut perlu dilaksanakan bagi memudahkan segala prosedur berkaitan vaksin berkenaan.

“Kawasan di Sarawak pertamanya luas dan banyak kawasan pedalaman mungkin susah untuk dilalui.

“Ketiga, vaksin Pfizer memerlukan tempat penyimpanan yang sejuk dan kita perlu bersedia, apabila vaksin datang nanti kita tidak kelam kabut,” kata Uggah.