KUALA LUMPUR: Negeri Sarawak akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Rabu ini.

Keputusan dicapai selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membuat penilaian risiko dan mengambil kira nilai-nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator PPN.

Menerusi kenyataan dikeluarkan JPBN Sarawak pada Isnin, MKN dan JPBN Sarawak bersetuju bahawa Sarawak telah bersedia untuk beralih ke Fasa 2 PPN mulai 14 Julai 2021 (12.01 pagi).

‘’Prosedur operasi standard (SOP) sedia ada masih berkuatkuasa sehingga 13 Julai 2021.

‘’JPBN juga telah memuat naik infografik berkenaan SOP dan “Pelan Perjalanan Sarawak Menuju Pemulihan: 4 Fasa.

‘’Ini bagi memudahkan orang ramai memahami kebenaran serta larangan garis panduan dan SOP dari satu fasa ke fasa berikutnya yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh keempat-empat fasa di Sarawak,’’ jelas kenyataan itu.

Justeru, orang ramai terus diminta untuk mengamalkan langkah pencegahan dan kawalan kendiri yang ketat supaya rantaian COVID-19 dapat diputuskan secepat mungkin.

Selain Sarawak, beberapa negeri lain sebelum ini juga sudah beralih ke Fasa 2 PPN termasuk Perlis, Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Sabah.

Sementara itu Sarawak hari ini melaporkan pertambahan 235 kes positif menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu meningkat kepada 69,104.