Badan bukan kerajaan (NGO) Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menafikan ia terlibat dalam pergaduhan dengan mana-mana pihak pada perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) pada 1 Mei lepas.

“Kami mengecam sebarang tindakkan ganas sesama sendiri termasuk aksi tolak-menolak yang melampau atas alasan menghalang orang masuk dataran dan sebagainya.,” kata Pengarah Propaganda SAMM Edy Noor Reduan menerusi satu kenyataan.

Beliau turut menjelaskan ketika pihak SAMM cuba masuk ke tengah dataran, mereka menyedari sudah tiada ruang untuk SAMM bergerak masuk, maka SAMM ambil keputusan untuk berhenti dan duduk di satu lokasi.

“Kekecohan bermula dan kemudian berlaku tolak-menolak hingga masuk ke lingkungan kedudukan SAMM menyebabkan ada anggota SAMM yang dirempuh termasuklah wanita muda SAMM. SAMM terpaksa mempertahankan diri dari asakan dan juga cuba bertindak meleraikan kekecohan.

“SAMM tidak menafikan beberapa komrad SAMM dalam jumlah yang sangat kecil (daripada hampir dua ratus anggota) gagal mengawal perasaan dalam keadaan penat dan panas berarak hampir lima kilometer, akhirnya berjaya ditenangkan,” tambah beliau.

Sementara itu, kumpulan itu turut menafikan sekerasnya laporan akhbar Bernama yang mengatakan kononnya SAMM terlibat memukul pihak media dan meminta pihak media yang tersalah lapor agar membetulkan semula laporan tersebut

Memetik laporan Bernama, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang semalam, tiga jurukamera dikasari oleh sekumpulan peserta yang berpakaian serba hitam dan menutup muka.

Dua daripada mereka ditumbuk dan disepak, sementara seorang lagi terkena balingan kayu.

Laporan yang sama turut menyebut tentang kejadian apabila pasukan Amal PAS dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah bergaduh sesama sendiri atas beberapa faktor yang mereka ketahui.