MELAKA: Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 peringkat negeri Melaka yang dianjurkan pada Isnin mampu memupuk jalinan ukhuwah antara pemimpin di peringkat Persekutuan, negeri dan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, selain itu, program berkenaan juga mampu menjadikan rakyat agar mensyukuri nilai kebersamaan dan perpaduan yang dikecapi hingga hari ini.

"Kerajaan negeri menyambut baik penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Negeri Melaka ini, berkonsepkan rimba yang membawa erti ketenangan, hijau dan bersih.

"Konsep ini sekali gus menggambarkan kemakmuran Melaka yang dikecapi hari ini," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Majlis itu dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Ab Rauf berkata, lebih 100 juadah makanan dan minuman dihidangkan kepada lebih 20,000 pengunjung yang hadir bersama-sama keluarga masing-masing bagi memeriahkan majlis sambutan berkenaan.

"Majlis pada hari ini kelihatan amat meriah... tetamu yang hadir juga ceria berbaju raya, apatah lagi suasana lebih berseri-seri dengan kehadiran Perdana Menteri bersama-sama delegasi pemimpin kerajaan Persekutuan yang lain.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya dengan penuh takzim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan berterima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama kami rakyat Melaka meraikan sambutan Aidilfitri dalam suasana muhibah pada tahun ini," katanya.

Menurut Ab Rauf, Melaka merupakan negeri bertuah kerana dipilih sebagai satu daripada tujuh negeri bagi penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI anjuran bersama Kementerian Sumber Manusia. - BERNAMA