Sakit, haram dan takut jenazah terseksa.

Itu adalah antara salah faham mengenai pendermaan organ yang menyebabkan ramai orang enggan menjadi penderma organ di negara ini.

Namun dari sisi agama, tiada halangan untuk berbuat demikian.

Malah Islam mengharuskan pendermaan organ selepas meninggal dunia.

Ia sekaligus menepis segala pertikaian berhubung isu ini.

Ikuti siri kedua laporan mengenai isu pendermaan organ bersama wartawan, Tan Su Lin.


Antara salah faham yang sering dikaitkan dengan pendermaan organ adalah ia bertentangan dengan ajaran agama dan akan menyakitkan mayat.

Namun, Ketua Pengurus Klinikal Pusat Sumber Transplan Nasional, Datin Dr Lela Yasmin Mansor berkata, pendermaan organ tidak menjejaskan rupa atau bentuk tubuh jenazah.

Pengebumian juga boleh dijalankan seperti biasa.

Bagaimanapun persepsi negatif utama yang perlu ditepis ialah perasaan takut.

Dr.Lela berkata, “Memang ada beberapa kajian dilakukan yang menunjukkan sebab utama menggapa rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu tidak menderma kerana perasaan takut. Ada beberapa sebab, satu daripadanya mungkin takut sebab ianya melibatkan kematian atau suatu yang tidak biasa jadi perasaan takut ini timbul kerana dia tak tahu. Justeru, cara terbaik bagi mengatasi masalah itu adalah melalui penyebaran maklumat mengenai derma organ menerusi internet mahupun media massa.”

Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1970 menetapkan hukum pemindahan dan pendermaan organ ialah harus.

Ini kerana ia memenuhi tuntutan memelihara nyawa manusia.

Ia dilakukan sebagai pilihan terakhir bagi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan organ tersebut dan tiada unsur perdagangan atau jual beli organ berkenaan.

Bukan sahaja Islam, malah agama lain seperti Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh juga membenarkan pendermaan organ selepas meninggal dunia malah menganggapnya satu amalan yang mulia.