KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah melahirkan rasa terkejut dengan insiden bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe ditembak.

"Saya sedih dan terkejut dengan insiden tembakan melibatkan bekas Perdana Menteri Jepun Abe @AbeShinzo.

"Kerajaan dan rakyat Malaysia berharap beliau cepat sembuh dan keluarga beliau diberikan kekuatan untuk mengharungi tragedi ini," ciap Saifuddin di akaun Twitternya, hari ini.

Terdahulu, Agensi Anadolu melaporkan Abe, 67, "ditembak dari belakang" ketika sedang berucap dalam satu kempen politik di bandar raya Nara, penyerang sudah ditahan.

Abe kini dilaporkan "dalam keadaan kritikal", memetik sidang akhbar Perdana Menteri Fumio Kishida.

BACA: Bekas PM Jepun Shinzo Abe ditembak

BACA: Suspek akui tidak berpuas hati dengan Shinzo Abe

"Pegawai kecemasan berkata beliau (Abe) tidak memberikan sebarang tindak balas," menurut penyiar NHK.

Jepun akan mengadakan pilihan raya Senat pada Ahad dan Abe berkempen untuk calon Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah.

Sekurang-kurangnya dua das tembakan kedengaran sebelum Abe rebah dan tersembam ke tanah.

Abe merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat - pertama pada 2006 dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020.

-- BERNAMA