PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengadakan lawatan kerja ke New Delhi, India pada 15 hingga 17 Jun bagi menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-India (SAIFMM).

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, mesyuarat itu diadakan sempena ulang tahun ke-30 ASEAN-India, yang akan memberi peluang kepada ASEAN dan India untuk meneliti perkembangan serta kemajuan kerjasama sedia ada serta membincangkan hala tuju perkongsian strategik.

Saifuddin bersama Menteri Luar ASEAN yang lain turut akan menghadiri Dialog Delhi ke-12.

Bertemakan "Breaking Barriers, Building Bridges in Indo-Pacific", Saifuddin akan menyampaikan ucapan ketika Panel Menteri mengenai 30 Tahun Hubungan ASEAN-India di Dialog Delhi ke-12.

"India merupakan rakan jangka panjang ASEAN sejak 1992 yang mempunyai hubungan sejarah, budaya dan tamadun yang kukuh sejak berkurun lama.

"Hubungan ini berasaskan kerjasama dinamik meliputi ketiga-tiga tonggak ASEAN," menurut kenyataan itu.

Lawatan kerja Saifuddin ke India memperlihatkan komitmen Malaysia untuk terus mengukuhkan lagi perkongsian ASEAN-India dalam sektor strategik termasuk mempromosikan pemulihan pasca pandemik COVID 19 yang berdaya tahan.

Selain menghadiri SAIFMM, Wisma Putra memaklumkan Saifuddin juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari India.

"Mesyuarat dua hala antara kedua-dua menteri luar adalah satu manifestasi hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara.

"Malaysia dan India akan terus memupuk hubungan akrab yang telah lama terjalin di samping bekerjasama ke arah keamanan, kemajuan dan kemakmuran sejagat," menurut Wisma Putra.

Ini merupakan lawatan sulung Menteri Luar ke India selepas pelantikannya pada 30 Ogos 2021.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-65 termeterainya hubungan diplomatik antara Malaysia dan India.

Kedua-dua negara telah menikmati jalinan persahabatan yang akrab melalui perkongsian sejarah, budaya dan sosial.

-- BERNAMA