Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga penyandang Timbalan Ketua UMNO bahagian Temerloh tewas mengejut kepada pencabarnya, Nor Azmi Mat Ludin yang membuat kemunculan semula selepas lima tahun.

Saifuddin yang juga penyandang ahli Majlis Tertinggi (MT) mendapat 205 undi manakala Nor Azmi pula memperoleh 251 undi dan seorang lagi calon yang bertanding, Datuk Akhbar Abu mendapat 194 undi.

Saifuddin dilihat sebagai antara pemimpin UMNO yang mempunyai pandangan progresif dalam politik serta lantang bersuara menggesa perubahan ke arah budaya politik baru.

Dalam mesejnya di Twitter, Saifuddin mengucapkan tahniah kepada lawannya dan menerima keputusan perwakilan.


Saifuddin bagaimanapun membayangkan kekalahannya itu berpunca daripada politik wang.


Dalam pada itu, berdasarkan keputusan tidak rasmi di ibu pejabat UMNO, Saifuddin yang bertanding mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi masih tidak tersenarai di kalangan 25 calon yang mendapat undi tertinggi.

Dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu, Saifuddin gagal mempertahankan kerusi Ahli Parlimen Temerloh selepas kalah kepada Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi dengan majoriti 1,070 undi.

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu baru-baru ini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global.