KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) telah melalui syarat yang ketat.


Ringkasan AI
  • Penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penjualan pegangan saham Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP: Kriteria Ketat untuk Pemilihan: Awalnya, kira-kira 145 syarikat menunjukkan minat untuk menyertai konsortium memperoleh MAHB. Namun, hanya lima syarikat yang memenuhi syarat.
  • Khazanah Nasional Berhad menetapkan kriteria ketat untuk pemilihan, termasuk: Pengerusi dan CEO mesti warganegara Malaysia. Pegangan majoriti harus tetap di tangan Malaysia.Syarikat lain yang berminat, termasuk dari Singapura, menginginkan lebih banyak kawalan ke atas pengurusan, yang tidak dapat diterima.Oleh itu, GIP dipilih sebagai rakan perniagaan untuk urus niaga ini.
  • Penguasaan Tempatan Diperkukuh: Perjanjian saham dengan GIP bertujuan memperkukuh pegangan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).Pegangan mereka meningkat dari 41% kepada 70% melalui transaksi ini.


Perdana Menteri berkata apabila pertimbangan pengurusan dibuka, kira-kira 145 syarikat berminat tetapi hanya lima yang layak.

"Syarat ditetapkan oleh Khazanah ketat yang tidak dipersetujui oleh kebanyakannya.

"Pertama, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) rakyat Malaysia. Kedua, majoriti pegangan Malaysia.

"Namun, syarikat lain yang berminat ini baik Singapura dan lain-lain, dia nak hak mengurus. Maknanya CEO dalam kalangan rakyatnya atau dia yang tentukan. Syarat ini tidak diterima. Jadi, itu sebabnya mengapa GIP diambil," katanya sewaktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengapa GIP dibawa masuk bagi membantu MAHB yang merupakan sebuah syarikat berdaya saing.

Wan Ahmad Fayhsal turut bertanyakan mengapa MAHB tidak memilih rakan yang lain.

Mengulas mengenai perkara itu, Anwar (PH-Tambun) berkata adalah sukar untuk mana-mana syarikat asing mahu bekerjasama jika mereka tidak menguasai majoriti pegangan saham, pengurusan atau menjadi Pengerusi dan CEO.

"Semua itu tidak menerima syarat yang kita kenakan yang agak ketat terutamanya dari segi penguasaan majoriti saham.

"Kita tidak beri kerana kita masih kekalkan 70 peratus syarikat Malaysia, Khazanah dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja," tambahnya.

Anwar turut mempersoalkan mengapa pelaburan BlackRock dalam MAHB menjadi isu ketika ini, sedangkan penglibatan syarikat itu sudah berlaku sejak 2021. 

Ia termasuk pemilihan BlackRock oleh KWSP sebagai salah satu pengurus dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) pelaburan langsung dan pelaburan bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh Syariah yang pertama dan terbesar di dunia dengan peruntukan AS$600 juta (RM2.5 bilion).

"Kalau soal BlackRock dibangkit tadi kerana ambil GIP, soalnya kenapa tak fikir pada 2021? Itu boleh pula tetapi sekarang tak boleh. Pada 2021, BlackRock (mempunyai) agenda yang sama.. ini masalah. Hukum itu berubah mengikut keadaan," kata Anwar.

Menteri Kewangan itu turut menjelaskan bahawa  BlackRock mempunyai kepentingan dalam Pasaran Bursa berjumlah RM20.5 bilion, dengan sekitar RM7 bilion dalam bon kerajaan dan syarikat korporat Malaysia.