Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri turut mengambil inisiatif membantu pelajar tingkatan empat dan lima dengan pemberian sekali beri RM200.
"Kerajaan Sabah turut menyediakan bantuan sekali beri kepada mereka yang akan memasuki institusi pengajian tinggi iaitu RM2,000 untuk kursus ijazah dan RM1,500 bagi kursus diploma.
"Tetapi kita tahu jumlah ini tidak mencukupi dan kerana itulah kami libatkan Yayasan Sabah dan kami turut mewujudkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah bagi membantu membiayai pendidikan anak-anak kita," katanya yang ditemui pada sesi ramah mesra bersama 12 penerima biasiswa Petronas di Menara Kinabalu, pada Jumaat.
Hajiji turut memuji Petronas atas sokongan berterusan kepada pembangunan akademik belia dan kerana menaja 107 pelajar dari Sabah untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang.
"Saya sangat menghargai komitmen Petronas untuk membangunkan modal insan selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya," katanya.
Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum, Petronas, Datuk Bacho Pilong. - BERNAMA