KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersetuju untuk membenarkan rentas daerah mengikut zon sebagai proses peralihan berkala daripada sekatan rentas daerah kepada rentas zon mulai Jumaat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata kebenaran itu tertakluk kepada syarat iaitu kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa Sabah telah mencapai 60 peratus dan daerah dalam setiap zon juga mencapai nilai ambang 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin.

"Daerah dalam zon yang belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksinasi dengan sendirinya terasing daripada zon sehingga mereka mencapai nilai ambang tersebut dan kekal dengan status "stand alone district'," katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi berkata setakat ini, seramai 2,264,603 penduduk Sabah telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 yang meliputi 2,027,449 penduduk dewasa (73.5 peratus jumlah penduduk dewasa), manakala 1,750,540 penduduk pula sudah melengkapkan dos vaksin itu termasuk 1,750,346 orang atau 63.5 peratus penduduk dewasa.

Sementara itu, Masidi berkata kerajaan Sabah juga membenarkan beberapa premis perniagaan membuka semula operasi perniagaan seperti spa; salun kecantikan; refleksologi; pusat kesihatan (wellness); urut kesihatan; perkhidmatan pedicure dan manicure mulai Jumaat ini.

Turut dibenarkan beroperasi semula mulai Jumaat ini ialah premis, aktiviti dan produk pelancongan serta pusat rekreasi seperti zoo; perladangan; pusat edutainment dan taman rimba, katanya.

Masidi berkata pemilik premis perlu memastikan setiap individu mestilah berstatus risiko rendah COVID-19 dan menunjukkan bukti lengkap divaksinasi menerusi sijil digital dalam aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis.

Bagi individu yang tidak memiliki kemudahan telefon pintar dan tiada aplikasi MySejahtera, mereka boleh membuktikan lengkap divaksinasi melalui kad vaksinasi atau kad peringatan vaksin diberikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) semasa di pusat pemberian vaksin, katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata sebanyak 965 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 195,980 kes dengan 38 kes kematian.

Beliau berkata seramai 1,367 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 176,090 pesakit sembuh di Sabah manakala seramai 3,220 pesakit masih menerima rawatan.

-- BERNAMA