KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi telah menghantar semula draf Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia kepada Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia untuk proses mengenal pasti dan memasukkan nama pihak berkaitan sebagai ahli pengasas.

Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata terdapat tiga kategori bagi ahli pengasas dalam Majlis Media Malaysia yang meliputi kategori organisasi media, badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan media dan pengamal media, serta ahli akademik termasuk individu yang aktif dalam isu berkaitan media.

"Berdasarkan senarai yang saya terima daripada Pengerusi Jawatankuasa Protem pada 22 Julai menunjukkan bahawa bagi kategori syarikat media kami sudah ada 15 (syarikat media), untuk kategori rakan media (associate) ada tujuh, pengamal media ada sembilan dan untuk ahli bukan media ada tujuh setakat ini.

"Jadi, sesiapa yang berminat untuk sertai Majlis Media Malaysia sebagai salah seorang ahli pengasas boleh hubungi jawatankuasa protem atau hubungi saya..mereka boleh meneliti draf rang undang-undang dan kalau mereka setuju dengan draf ini, mereka boleh sertai sebagai salah seorang ahli pengasas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni warga kerja Tamil Malar di ibu pejabat akhbar itu sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.

Teo berkata sejurus proses tersebut selesai, draf rang undang-undang itu akan dibawa ke Jemaah Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan kelulusan.

"Tetapi pastinya kita tidak boleh ambil masa lama untuk tunggu semua orang untuk (draf rang undang-undang) dipersetujui. Sekiranya semua berjalan lancar kami harap bahawa dalam sidang Parlimen akan datang kami boleh bawa rang undang-undang ini ke Parlimen," katanya.

Penubuhan Majlis Media Malaysia adalah bagi membangunkan dan melaksanakan kod etika pelaporan yang dapat memperkasakan profesion kewartawanan negara serta memastikan pelaporan berita dilakukan oleh media secara bertanggungjawab.

Majlis itu turut berfungsi menggalakkan komunikasi antara pengamal media, kerajaan dan orang awam selain menyokong pembangunan profesional wartawan serta organisasi media.

Mengenai program hari ini, Teo berkata kunjungan ke ibu pejabat akhbar itu merupakan satu daripada usaha membina hubungan yang lebih kukuh antara media Tamil dengan kementerian.

"Hasrat kami adalah kami akan lawat satu demi satu (organisasi media) untuk mewujudkan satu hubungan di mana mereka faham bahawa kami sangat mudah didekati, kalau mereka hadapi masalah kami boleh bantu dan sedia untuk membantu," katanya.

Terdahulu, Teo dan Kulasegaran meluangkan masa beramah mesra bersama kakitangan Tamil Malar dan mengedarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

-- BERNAMA