Cadangan kerajaan meminda Rang Undang-Undang (RUU) Dadah Berbahaya untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B bertujuan memberi lebih ruang kepada mahkamah untuk menggunakan budi bicara dalam menentukan hukuman lebih sesuai terhadap pesalah dadah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata cadangan itu juga selari dengan prinsip menjatuhkan hukuman iaitu sewajarnya mahkamah dibenarkan menggunakan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman selain hukuman mati mandatori.

"Bagaimanapun, kuasa budi bicara mahkamah hanya tertakluk untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang lima belas kali sebatan setelah Mahkamah mengambil kira beberapa keadaan tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.

RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tanpa pindaan ini, hakim yang mengendalikan kes berkaitan terpaksa menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh yang didapati bersalah di mahkamah kerana tiada hukuman lain diperuntukkan.

Azalina yang juga Anggota Parlimen Pengerang berkata semua pihak perlu melihat pindaan ini sebagai langkah proaktif kerajaan bagi memastikan keadilan sewajarnya kepada mereka yang tidak sepatutnya dijatuhkan hukuman mati mandatori.

"Bagaimanapun, hukuman mati mandatori (di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) masih perlu dikekalkan untuk memberi gambaran jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mereka yang mengedar dadah sehingga menjadi ancaman kepada negara dan rakyat," katanya.

-- BERNAMA