KUALA LUMPUR: Tuntutan Kumpulan Sulu yang mendakwa mereka bebas untuk mengambil tindakan terhadap Sabah, termasuk kemungkinan menyewakannya kepada negara lain seperti China atau Filipina, disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sebagai negara berdaulat dan mencapai kemerdekaan pada 1957, Malaysia akan melawan tuntutan itu memandangkan Sabah adalah sebahagian dari negara ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berita semalam mengenai peguam utama yang mewakili Kumpulan Sulu Paul Cohen yang mendakwa kemenangan Malaysia di Mahkamah Agung Perancis sebagai keputusan yang "makan diri sendiri" dan kliennya kini bebas untuk mengambil tindakan terhadap Sabah.

"Kita ada Cobolt Commission dan Referendum, jadi beliau (Cohen) cakap benda-benda yang pada saya tidak masuk akal, tetapi sebagai peguam, beliau ada hak. Kalau beliau rasa anak guamnya ada hak, itu percakapan dia.

"Jawapan saya - cubalah, kita akan lawan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kuala Lumpur Forum on International Arbitration 2024 di sini, hari ini.

Azalina berkata kerajaan akan membuat keputusan sama ada mahu menuntut semula segala perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membayar kos guaman, perjalanan ke mahkamah dan lain-lain selepas keseluruhan kes berkaitan tuntutan Kumpulan Sulu dinoktahkan.

Media sebelum ini melaporkan Cohen berkata anak guamnya kini dalam proses mengambil tindakan terhadap Sabah termasuk kemungkinan menyewakan kepada China mahupun Filipina.

Cohen berkata keputusan yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa sebelum ini sepatutnya memberikan pampasan kepada waris Sulu untuk menyerahkan "hak" mereka ke atas Sabah, dengan nilai hampir USD15 bilion.

Namun dengan pembatalan keputusan itu, Cohen mendakwa Kumpulan Sulu kini bebas untuk bertindak ke atas Sabah, sama ada dengan menyewakannya kepada negara lain atau menguruskan hak mereka tanpa sebarang halangan.

-- BERNAMA