Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 31 Okt untuk mendengar kes saman difailkan Mohamed Tawfik Ismail terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

Peguam Muhammad Faizal Faiz Mohd Hasani, mewakili Mohamed Tawfik, yang juga bekas Anggota Parlimen Sungai Benut, Johor, berkata kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Wira Kamaludin Md. Said.

"Mahkamah turut mengarahkan Pandikar Amin dan seorang lagi defendan iaitu Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah memfailkan afidavit sebelum atau pada 22 Ogos ini,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Norazlin Othman hari ini.

Prosiding itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak Pandikar Amin dan Roosme.

Pada 31 Mac lepas, Mohamed Tawfik selaku plaintif memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi bahawa usul oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah usul yang tidak mematuhi keperluan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat memandangkan ia tidak disertakan dengan salinan RUU 355 serta huraian mengenai tujuan dan sebabnya dan ia perlu ditolak oleh Setiausaha Dewan Rakyat.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa tiada kebenaran diperoleh daripada Majlis Raja-Raja bagi RUU 355 atau sebarang pindaan yang dicadangkan melalui usul Abdul Hadi itu.

Mohamed Tawfik juga mendakwa RUU 355 adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan pindaan yang dicadangkan Abdul Hadi tidak boleh dibenarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan di Dewan Rakyat menurut Aturan 49 dan/atau Aturan 48 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja.

Beliau turut memohon perintah untuk mengetepikan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang didakwa bertindak secara salah membenarkan usul Abdul Hadi berkenaan RUU 355 untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Dewan Rakyat bagi sesi kelima Parlimen ke-13, sedangkan usul itu tidak mematuhi keperluan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tiada kebenaran telah diperoleh daripada Majlis Raja-Raja.

Permohonan itu dikemukakan atas alasan Yang Dipertua Dewan Rakyat telah melanggar Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan ia adalah satu penghinaan terhadap institusi Majlis Raja-Raja jika membenarkan usul Abdul Hadi tanpa dirujuk dan dirunding dengan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.

-- BERNAMA