Ringkasan AI
- Pelan Evakuasi: Kerajaan Malaysia akan menggerakkan pelan evakuasi untuk membawa pulang semua pelajar, pekerja, dan rakyat Malaysia di Bangladesh dengan kerjasama AirAsia.
- Pesawat Khas: Sebuah pesawat khas wide body dengan kapasiti 350 penumpang akan diterbangkan ke Dhaka dan dijadualkan tiba pada jam 10 pagi untuk membawa pulang sekurang-kurangnya 193 rakyat Malaysia.
- Persiapan Kedutaan: Kedutaan Malaysia di Bangladesh sedang mengumpulkan pelajar dan rakyat yang terjejas di bangunan kedutaan sebelum mereka dibawa pulang ke Malaysia pada pagi Selasa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kementeriannya bekerjasama dengan AirAsia bagi membawa pulang sekurang-kurangnya 192 rakyat Malaysia di sana.
Menurutnya, pesawat khas ‘wide body’ dengan kapasiti 350 penumpang akan diterbangkan ke sana dan dijadualkan tiba di lapangan terbang di Dhaka pada jam 10 pagi.
Tambah beliau, buat masa ini, kedutaan sedang membawa pelajar dan rakyat terjejas ke bangunan kedutaan sebelum semuanya dibawa balik ke Malaysia pada pagi Selasa.
“Mula-mula kami mahu sewa kapal terbang dengan kapasiti 250 penumpang tapi selepas itu ambil kira juga rakyat Malaysia yang tidak berada dalam radar kita, yang mahu ikut sama pulang.
“Kita juga baru tahu ada keluarga juruterbang di sana, dalam 10 orang yang nak pulang juga. Jadi kami minta pihak AirAsia hantar pesawat ‘wide body’ ke sana.
“Mana tahu ada saat akhir, ada yang tak daftar dengan kedutaan dan mahu balik. Kadangkala ada pelajar swasta, yang pergi sana, tak daftar dan pergi bersendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Wisma Putra selepas melakukan pertemuan dengan wakil ibu bapa pelajar yang masih terperangkap di Bangladesh.
Tambah beliau, Wisma Putra telah berjaya mengesan seramai 139 pelajar yang berada di Bangladesh, majoritinya di Mymensingh Medical College (MMC) iaitu seramai 55 orang.
Jelasnya lagi, Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di Dhaka berjaya membawa pulang 15 pelajar baru-baru ini, menjadikan setakat ini terdapat 124 pelajar Malaysia masih berada di negara tersebut.
Dalam pada itu, mengulas situasi di Bangladesh, pada mulanya Kementerian Luar menganalisa rusuhan itu cuma gerakan daripada pelajar namun bertukar menjadi gerakan anti kerajaan selepas campur tangan politik.
Justeru, beliau berpendapat isu tersebut tidak akan selesai segera dan jalan terbaik adalah membawa pulang semua rakyat Malaysia ke tanah air.
“Kita harap tiada yang tertinggal. Kita ambil ‘wide body’, dua kali ganda daripada kapasiti yang diperlukan.
“Kalau ada rakyat Malaysia di sana, yang tidak berdaftar tapi nak balik Malaysia, baliklah.
“Ini adalah ihsan kerajaan nak bawa balik rakyat kita dari lokasi yang bermasalah,” ujarnya.