Ringkasan AI
- Tindakan Kerajaan: Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa kerajaan telah mengambil tindakan sejak hari pertama rusuhan di Bangladesh untuk membantu pelajar Malaysia yang terperangkap, termasuk berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sana.
- Keadaan Pelajar: Pelajar Malaysia di Bangladesh berada dalam keadaan selamat, walaupun sedikit panik akibat rusuhan yang semakin memuncak. Wisma Putra telah menasihatkan pelajar untuk tinggal di asrama masing-masing dan menyediakan pegawai untuk mengiringi mereka.
- Pelan Evakuasi: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meluluskan pelan evakuasi yang dikelolakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), dengan pesawat berkapasiti 350 penumpang dijadualkan tiba di Dhaka pada pagi Selasa untuk membawa pulang rakyat Malaysia.
Menteri Luar itu turut menasihatkan semua pihak yang menokok tambah, yang mendakwa Kementerian Luar lepas tangan supaya bertenang.
Tegasnya, dari hari pertama rusuhan, Wisma Putra sudah berurusan dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sana bagi memantau keadaan rakyat Malaysia di negara tersebut.
“Saya sendiri juga berkomunikasi dengan mereka. Kadangkala sehari dua tiga kali, semasa komunikasi di sana masih baik sehinggalah pada waktu ini yang mana komunikasinya tidak baik.
“Tiada isu kami biarkan anak-anak kita di sana. Hari pertama lagi kami dah nasihatkan pelajar duduk di asrama masing-masing.
“Ada juga pegawai yang iringi perjalanan mereka. Malah, saya juga ada minta status mereka, bila mereka selamat sampai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Wisma Putra selepas melakukan pertemuan dengan wakil ibu bapa pelajar yang masih terperangkap di Bangladesh.
Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan pelajar Malaysia di sana kini berada dalam keadaan selamat, cuma sedikit panik kerana rusuhan yang kian memuncak.
“Mereka yang di luar itu tolonglah jangan tokok tambah.
"Jangan buat nasi tambah, masuk sambal belacan, tambah macam-macam. Susahlah.
“Kami tak biarkan mereka terutamanya berkaitan keselamatan anak-anak kita yang berada di sana,” ujarnya.
Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan pelan evakuasi rakyat Malaysia di sana dengan kapal terbang dengan kapasiti 350 penumpang akan tiba di Dhaka pada jam 10 pagi Selasa.
Menurutnya, pelan evakuasi itu dikelolakan Majlis Keselamatan Negara (MKN).