Teksturnya yang lembut serta rasanya yang manis, berlemak menjadikan roti tersebut memiliki keistimewaan tersendiri.
Pengusaha kuih tradisional, Mazni Abdul Malek, 60, dari Kampung Tanjung Kertau dekat sini berkata, hidangan tersebut diberikan nama sedemikian rupa kerana dihidangkan ketika ada kematian dan majlis tahlil.
"Jika ditanya pada orang tua, memang mereka sangat mengenali roti ini dan mengikut cerita orang tua terdahulu, resepi ini dinamakan roti orang mati kerana hanya boleh ditemui ketika majlis terbabit.
"Jadi setiap kali ada kematian dan kenduri tahlil penduduk kampung akan bergotong royong membuat roti orang mati selain kuih serabai dan apam untuk dihidangkan kepada tetamu yang hadir," katanya ketika ditemui di Lipis baru-baru ini.
Ujarnya, bahan utama yang digunakan dalam pembuatan kuih tersebut iaitu tepung pulut dan santan pekat.
Selain itu, Mazni memberitahu, bahan sampingan lain ialah halba, daun pandan, daun limau purut, bawang merah, halia, ketumbar, rempah kari, serai, jintan manis, jintan putih, kerisik dan garam.
"Proses membuatnya tidak susah cuma perlu kesabaran untuk menguli selain perlu memastikan santan yang digunakan benar-benar segar supaya kuih berlemak dan cantik.
"Jika dibiarkan semalaman pun kuih ini masih sedap dan boleh dimakan, cuma kita perlu panaskan sahaja seperti biasa," katanya lagi.
Tambahnya, roti tersebut antara tarikan utama setiap kali menjualnya hingga 100 keping dengan harga RM10 setiap satu di Pekan Sehari Chenor di sini setiap Khamis selain kuih tiga beradik iaitu kuih pepena, badak kubang dan dodol kukus.
Ujar Mazni, roti itu turut mendapat permintaan bukan sahaja daripada pelanggan di daerah ini malahan sering menerima tempahan dari luar untuk majlis keraian serta kenduri kendara.
"Sekarang anak-anak saya pun sudah mulai belajar resipi kuih lama sebegini bagi memastikan ia tidak terkubur pada masa depan kerana majoriti generasi baharu kurang berminat mempelajari cara membuatnya," jelasnya. - Sinar Harian