Datin Seri Rosmah Mansor menerima Anugerah Hero STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) sempena majlis pelancaran Perikatan STEM Global di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini Isnin (Selasa di Malaysia).

Anugerah antarabangsa itu diberikan kepada isteri Perdana Menteri itu sebagai penghargaan kepada sumbangan beliau terhadap perkembangan pendidikan awal untuk kanak-kanak di Malaysia.

Anugerah itu telah disampaikan oleh Pengerusi Majlis Presiden New York Academy of Sciences Nancy Zimpher yang juga Canselor State University of New York.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif New York Academy of Sciences Ellis Rubenstein dan Presiden Forum Perkongsian Global Amir Dossal turut menghadiri majlis itu.
Perikatan STEM Global bermatlamat untuk menghubungkan pelajar di seluruh dunia menerusi kerjasama dalam bentuk platform digital dan jaringan pembelajaran sosial.

Global STEM Alliance akan membawa kurikulum kelas dunia dan membimbing pelajar dalam peringkat semua umur untuk memenuhi keperluan nasional pada sektor pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sains, teknologi, kejuruteraan dam matematik.

Inisiatif ini menyasarkan untuk memenuhi keperluan kritikal bagi pembangunan ekonomi dengan mewujudkan keadaan celik STEM dan memberi semangat kepada golongan muda untuk berminat dengan STEM dan memilihnya sebagai bidang kerjaya.

Ia telah menjadi sebahagian usaha berterusan Kerajaan Malaysia sejak 2000 untuk menjadikannya sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dengan meningkatkan kebolehan di dalam bidang sains dan inovasi.
Rosmah telah menggerakkan program PERMATA sejak 2007 dengan memberikan pendidikan berkualiti di dalam suasana yang menyeronokkan untuk kanak-kanak prasekolah dari umur empat tahun.

Program itu berdasarkan pendidikan prasekolah yang dibangunkan di negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, Australia dan New Zealand yang telah disesuaikan dengan kebudayaan tempatan dan falsafah pendidikan kebangsaan.

Dengan konsep bahawa setiap kanak-kanak di Malaysia adalah sebutir permata berharga, mereka dibantu untuk meneroka potensi diri mereka secara menyeluruh.

Terdapat enam program di bawah PERMATA - PERMATA Negara, PERMATA Pintar, PERMATA Insan, PERMATA Seni, PERMATA Remaja dan PERMATA Kurnia yang bukan hanya memberi manfaat kepada kanak-kanak prasekolah tetapi juga pelajar sekolah rendah dan menengah selain daripada remaja.

Lebih daripada 80 pusat PERMATA Negara telah diwujudkan untuk memberikan pendidikan prasekolah di seluruh negara.

Bercakap kepada wartawan kemudian, Rosmah berkata anugerah itu bukan hanya utuk dirinya sendiri tetapi juga kepada mereka yang telah bekerja keras untuk kejayaan program PERMATA.

Ditanya apakah yang diberitahu Najib yang duduk sebelahnya selepas menerima anugerah itu, Rosmah berkata Najib berkata kepadanya "Tahniah. Saya berbangga dengan awak."