Rondaan kawalan keselamatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan strategik, tarikan pelancong serta tumpuan pengunjung akan dipergiatkan bagi memberi keyakinan keselamatan kepada orang ramai.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rondaan bersama itu akan dilaksanakan serta-merta untuk menghantar isyarat bahawa keadaan keselamatan di di negara ini berada dalam kawalan pihak berkuasa.

"Kehadiran rondaan bersama antara PDRM dan ATM boleh memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa pihak kerajaan sentiasa mengambil berat tentang sebarang kemungkinan yang boleh berlaku," katanya dalam sidang media di Seri Perdana di sini hari ini.

Rondaan bersama PDRM dan ATM itu adalah antara keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan di sini hari ini untuk membincangkan langkah keselamatan berikutan perkembangan terkini termasuk insiden keganasan di beberapa bandar utama di dunia.

Najib berkata kawasan seperti Bukit Bintang dan kompleks beli-belah utama antara kawasan yang akan melihat rondaan PDRM dan ATM itu.

Beliau berkata rondaan kawalan PDRM dan ATM tidak seharusnya disalahertikan.

"Ini bukanlah satu pengisytiharan darurat. Ia hanyalah bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan rondaan.

Pada asasnya untuk memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa kita yang mengawal keadaan.

"Saya mahu mereka (pasukan rondaan) dilihat. Saya rasa orang ramai akan berasa lebih selesa jika mereka melihat kehadiran pasukan keselamatan," katanya.

Apabila ditanya sama rondaan bersama PDRM dan ATM itu akan menimbulkan persepsi tidak selamat, Najib berkata: "Tidak. Kami tidak mahu kerajaan dipersalahkan kemudian".

"Kita perlu bersedia sebab segala-galanya boleh berlaku di Paris, Jakarta dan Amerika. Kita mesti mengambil segala langkah yang perlu. Kita tidak boleh mentafsirkan perkara ini sebagai kemungkinan bakal berlaku serangan di Malaysia. Kita perlu meningkatkan tahap sensitiviti dan kesiapsiagaan terhadap apa jua kebarangkalian," katanya.

Najib berkata kawasan berisiko tidak wajar dinamakan kerana tidak mahu menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan rakyat sehingga menjejaskan perniagaan dan menyebabkan rakyat mengubah gaya hidup.

"Apa yang perlu kita lakukan ialah kita mesti buat seperti biasa. Jangan rasa takut atau bimbang. Apa yang patut ialah lakukan tingkatkan tahap kawalan dan sensitiviti terhadap keselamatan.

"Ini juga melibatkan peranan orang ramai di mana mereka boleh memberi maklumat kepada polis sekiranya mengesan sesuatu pelik atau luar biasa yang boleh membawa ancaman. Apa-apa pun biar polis mengambil tindakan yang sepatutnya," katanya.

Ketika ditanya tentang tahap 'amaran' pada masa ini, Najib berkata: "Kita tidak boleh mentakrifkannya dari segi tahap ancaman. Bagaimanapun, apa yang kita ingin lakukan adalah untuk meningkatkan tahap sensitiviti dan kesiapsiagaan."

Najib berkata mesyuarat MKN hari ini juga membuat beberapa ketetapan termasuk mempertingkatkan keselamatan ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja di kalangan agensi atau badan yang terlibat dalam menjaga keselamatan negara sebagai tugas utama seperti PDRM dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Katanya ia sepatutnya meliputi badan-badan dan agensi-agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen yang menjaga pintu masuk negara, pegawai-pegawai kerajaan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

"MKN menetapkan supaya PDRM memberi panduan dan taklimat kepada kumpulan atau badan-badan ini supaya sensitiviti keselamatan wajar dan perlu diletakkan pada tahap lebih tinggi lagi," katanya.

Beliau memberi contoh, ketika pemeriksaan bagasi di lapangan terbang, pihak Imigresen boleh memainkan peranan menentukan mereka yang keluar masuk adalah bebas daripada sebarang penjenayah atau rekod potensi pengganas.

"Ini semua mesti kita lakukan pada tahap kesedaran dan sensitiviti yang lebih tinggi kerana masih terdapat sikap dingin atau kurang memberi perhatian serius kepada soal keselamatan," katanya.

Najib berkata MKN juga menetapkan mengenai pelaksanaan 'Counter Messaging Centre' untuk membalas berita yang disebarkan oleh kumpulan Daish melalui media sosial yang boleh mempengaruhi orang ramai serta menjadikan mereka sebagai sasaran, seterusnya sebagai pengganas.

Pusat itu akan diwujudkan tidak lama lagi namun lokasinya belum ditetapkan, katanya.

Perdana menteri berkata berdasarkan taklimat yang diberi setakat ini, 55 rakyat Malaysia dikesan terlibat dalam kumpulan Daish di Iraq dan Syria. Tujuh belas daripadanya terkorban dengan enam merupakan pengebom bunuh diri.

"Dalam senario tersebut, kita perlu memberi perhatian berat hasil daripada tindakan kita dalam tindakan awal dan pencegahan yang dilakukan polis, seramai 129 rakyat Malaysia ditahan. Ini merupakan fakta kita boleh mengawal keselamatan negara," katanya.

Najib dalam pada itu menyifatkan keselamatan negara pada umumnya masih terkawal namun terdapat juga ancaman yang perlu diberi perhatian iaitu ancaman keganasan yang berbentuk militan seperti Daish.

Selain itu, katanya, ancaman di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah yang berdepan dengan kumpulan seperti kumpulan Abu Sayyaf dan kumpulan yang melakukan penculikan dengan menyasarkan rakyat Malaysia serta pengganas Sulu.