KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan RM40 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melaksanakan projek penyelenggaraan 302 sistem telaga tiub di sekolah-sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak pada tahun ini.


Ringkasan AI
  • Kerajaan menyalurkan RM40 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyelenggara 302 sistem telaga tiub di sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak pada tahun ini.
  • Sejak 2021, sebanyak RM94.5 juta telah diperuntukkan untuk pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub di 90 sekolah di Sabah dan Sarawak, dengan projek dijangka siap sepenuhnya pada 2025.
  • Tahun ini, 16 sekolah diluluskan untuk menggunakan teknologi Penjana Air Atmosfera (AWG), dan RM30.6 juta telah dibelanjakan tahun lepas untuk menyelenggara sistem telaga tiub di sekolah luar bandar.


Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata kementeriannya yang bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah melaksanakan pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

"Sejak 2021 sehingga sekarang, jumlah nilai kontrak peruntukan yang diluluskan adalah RM94.5 juta. Di bawah projek ini, 90 sekolah dikenal pasti dan disenaraikan bagi projek ini, iaitu di Sabah melibatkan 79 sekolah manakala Sarawak 11 sekolah.

"Pembinaan sedang giat dilaksanakan dengan purata kemajuan fizikal projek bagi 64 sekolah mencapai 59.85 peratus. Tempoh projek kerja ditetapkan selama dua tahun dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Larry Sng (PBM-Julau) tentang usaha kementerian untuk memastikan bekalan air bersih sampai ke sekolah luar bandar, terutama yang belum mempunyai akses air bersih, dengan menjelaskan langkah-langkah konkrit yang diambil dan jangka masa pelaksanaannya.

Wong berkata untuk tahun ini juga, 16 sekolah diluluskan penukaran skop projek kepada penggunaan teknologi Penjana Air Atmosfera (AWG).

Beliau berkata buat masa ini, pihak JKR sedang dalam proses memuktamadkan perjanjian tambahan untuk melaksanakan skop baharu dalam projek ini, manakala 10 sekolah di Sabah dalam proses kelulusan penukaran skop AWG.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan RM30.6 juta dibelanjakan pada tahun lepas untuk menyelenggara 302 sistem telaga tiub sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA