KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2.6 bilion pinjaman perlu dikutip semula oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional bagi tempoh 2008 hingga tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata ia adalah jumlah kolektif pinjaman yang perlu dibayar serta pinjaman baharu melibatkan lebih 100,000 peminjam bagi tempoh itu.

"Mereka sedang bayar... sekarang kita nasihat dan buat panggilan untuk bercakap dengan mereka, (jadi) pembayaran sedang dibuat tetapi duit itu memang tergantung... kalau RM2.6 bilion dipulangkan kepada kita, lagi banyak kita boleh pinjamkan kepada peminjam di luar sana," katanya kepada pemberita selepas program Sembang Santai Vanakam MADANI Bersama Usahawan India di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan peminjam TEKUN Nasional yang memiliki baki hutang di bawah 50 peratus atau kurang dua tahun tempoh pembayaran layak membuat permohonan kedua untuk pembiayaan itu.

Bagaimanapun, Ramanan berkata pemohon perlu mempunyai rekod pembayaran yang bagus dan dokumen lengkap serta memenuhi semua syarat untuk membuat permohonan kedua.

"Permohonan akan berjaya sekiranya semua peraturan, prosedur, dokumen dan syarat dipenuhi," katanya.

Justeru, beliau menasihati peminjam agar membayar semula pinjaman mereka untuk memberi peluang kepada orang lain memohon pembiayaan TEKUN Nasional.

"... kalau bayar balik pinjaman, kita boleh pinjam kepada lebih banyak orang, TEKUN Nasional boleh membangunkan lebih banyak peniaga dan usahawan, jadi bagilah orang lain peluang yang anda telah dapat dan nikmati selama ini," katanya.

Ramanan juga berkata program hari ini bertujuan menjelaskan lagi tentang skim pembiayaan yang disediakan kepada usahawan masyarakat India supaya tiada sesiapa tercicir.

Program itu juga bagi mendapatkan maklum balas berkaitan isu yang dihadapi kumpulan berkenaan serta kebaikan peluang yang diberikan oleh TEKUN Nasional menerusi Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) Goes Big.

Kira-Kira 500 usahawan TEKUN Nasional komuniti India dari Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan hadir pada sesi dialog itu.

-- BERNAMA