Prestasi Ringgit tidak selemah seperti yang digambarkan di media sosial, kata Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Dr Noor Azlan berkata pada masa ini ramai pengguna media sosial yang mengeluarkan hujah mengenai kedudukan Ringgir tanpa bersandarkan fakta ekonomi.

"Ada yang menyatakan Ringgit tidak laku. Ini tidak betul. Saya sendiri ke luar negara dan mendapati Ringgit masih digunakan seperti biasa tetapi didagangkan pada nilai yang lebih rendah," katanya kepada Astro AWANI.

Tambah Dr Noor Azlan, yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tiada sebab untuk rakyat Malaysia takut atau panik.

"Ini kerana penyusutan Ringgit adalah sebahagian daripada fenomena global yang melanda ekonomi di negara-negara lain di dunia," jelasnya.

Walau bagaimanapun, Dr Noor Azlan menekankan kepentingan memberi fokus kepada perkara ini agar ia tidak memberi impak yang teruk kepada negara.

Selain itu, beliau berkata, langkah mitigasi perlu diambil bagi memastikan masalah yang melanda ekonomi negara ditangani secara baik.

Oleh itu, pada pandangan Dr Noor Azlan, Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang baru dibentuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diharap dapat memainkan peranan penting dalam merangka langkah-langkah ini.

JKE dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.