“UMI tak ada darah, papa pun tak darah ..." 

Itu luahan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun, Raif Adam Lutfan Remyzan yang kini telah bergelar yatim piatu selepas seluruh keluarganya maut dalam kemalangan di Pintasan Kajang atau lebih dikenali sebagai Kajang Bypass.

Tragedi pada 7 Mac 2021 kini menjadi noktah hitam dalam hidup kanak-kanak ini. 

Mungkin Adam terlalu muda untuk memahami apa yang menimpa keluarganya.

Kemalangan yang membabitkan kereta dipandu arwah bapanya Remyzan Baharudin, arwah ibunya Suzyla Ahmad Dahlan dan arwah kakaknya Raiha Syuhaida Remyzan telah meragut kebahagian Adam dalam sekelip mata.


Laporan Khas | Jadi anak yatim selepas tragedi Kajang Bypass

Adam yang ketika itu juga berada dalam kenderaan terselamat dengan mengalami kecederaan di bahagian rusuk.

Adam yang ditemui Astro AWANI baru-baru ini berkongsi kisah berhubung peristiwa hitam yang menimpa keluarganya. 

Kini, Adam terpaksa menumpang kasih bersama ibu saudaranya, Azlin Baharudin dan suaminya yang sanggup mengambil anak yatim piatu ini untuk berkongsi kasih serta berteduh di bawah satu bumbung dengan mereka.

Apa yang lebih menyayat hati, Ramadan dan Syawal buat Adam pada kali ini tanpa keluarga tercinta.

“Adam rindu umi, rindu papa dan kakak.

“Sekarang Adam duduk sendiri, umi papa kakak semua dah tiada,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah bapanya di Rinching, Kajang.

Usia semuda itu, kanak-kanak yang bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek itu hanya mengharapkan kunjungan pusara ibu ayah yang digelar sebagai ‘Syurga Umi’ untuk mengubat rindunya.

Bukan setakat itu, anak kecil ini turut kehilangan kakaknya yang juga rakan gurau senda, Raiha, 12, yang meninggal dunia beberapa hari selepas kemalangan.

Laluan Kajang Bypass merupakan lokasi "panas" yang dikatakan kerap berlaku insiden meragut nyawa dan keluarga ini merupakan mangsa terbaharu nahas terbabit. 

Laporan Khas | Kajang Bypass tidak layak jadi laluan selamat

Apa langkah keselamatan seterusnya di 'Kajang Bypass'?


Apa yang diharapkan agar tiada lagi tangisan yang perlu diratapi supaya insiden seperti ini dapat dielakkan hanya dengan tindakan pantas pihak berkuasa dalam mencari jalan penyelesaian.

Laporan Khas | Kajang Bypass: Lebuh raya atau pusara?


Cerita Sebalik Berita: Jadi anak yatim selepas tragedi di Kajang Bypass