KAJANG: Bayangkan laluan kawasan perumahan yang sepatutnya tenang bertukar menjadi dilema kepada penduduk apabila terus dihantui dengan kebimbangan nyawa melayang.

Itu situasi yang berlaku melibatkan penduduk di Taman Saujana Impian, Kajang yang terpaksa berdepan risiko kemalangan di laluan lebuh raya Cheras –Kajang atau lebih dikenali sebagai ‘Kajang Bypass’.

Laluan ini menghubungkan tiga lebuh raya utama yang dikatakan bertembung dengan laluan kawasan perumahan itu.

Apa yang pasti, laluan yang boleh dikategorikan sebagai berbahaya ini hanya menantikan siapa mangsa seterusnya yang berkemungkinan berdepan peristiwa berdarah.

Pengerusi Badan Bertindak Kajang Bypass, Manaf Ramli berkata, situasi ketika ini seolah-olah  kenderaan yang dalam had kelajuan yang tinggi daripada lebuh raya akan terus memasuki laluan kawasan taman.

Lebih membimbangkan, risikonya ditambah lagi dengan keadaan selekoh maut atau dikenali sebagai ‘selekoh king’ yang dikatakan menjadi punca kemalangan. 


Kajang Bypass risiko kemalangan maut

Rata-rata penduduk yang ditemui menggesa pihak berkuasa yang terlibat agar ‘membuka mata’ terhadap isu laluan Kajang Bypass.

Malah, penduduk mendakwa masalah laluan berkenaan telah berlarutan selama puluhan tahun dan sehingga kini status pemilikannya seakan tergantung.


Kajang Bypass: Penduduk harap pihak berkuasa buka mata isu Kajang Bypass

Astro AWANI cuba mendapatkan reaksi pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) untuk mengulas lanjut isu berkenaan namun sebaliknya pertanyaan kami hanya dijawab menerusi kenyataan media.

Menurut MPKJ, pihaknya telah menempatkan beberapa papan tanda serta penghadang sementara yang menimbulkan persoalan sampai bila ia hanya bersifat sementara sedangkan penduduk menantikan tindakan yang lebih proaktif termasuk status jalan berkenaan.

Sebut sahaja Kajang Bypass, pasti kes kemalangan yang meragut nyawa bukanlah menjadi perkara yang asing dalam kalangan penduduk sekitar.

Ini termasuk insiden meragut nyawa pada awal Mac yang mengorbankan nyawa sepasang suami isteri.

Timbul persoalan apa yang menyebabkan pihak berkuasa ibarat ‘melepaskan batuk di tangga’ dan hanya sekadar melihat kadar pertambahan mangsa.

Setakat ini, hampir 7,000 petisyen telah ditandatangani penduduk menuntut pihak berkuasa bertindak. 

Adakah usaha mereka ini membuahkan hasil atau ia sekadar satu langkah yang sia-sia?


[PROMO] Kajang Bypass | Lebuhraya atau Pusara?

Saksikan Laporan Khas ‘Kajang Bypass: Lebuh Raya atau Pusara? dalam Buletin AWANI 7:45 malam ini.