Ratusan pengguna yang melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Temerloh ke Kuala Lumpur, terperangkap dalam kesesakan teruk selepas kira-kira 30 pokok tumbang di KM85 berikutan hujan dan ribut melanda kawasan itu petang tadi.

Kejadian kira-kira 3 petang itu turut mengakibatkan lima buah kenderaan mengalami kerosakan, selepas ditimpa serta terlanggar pokok yang tumbang.

Pengendali konsesi LPT, Anih Berhad mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ribut yang berlaku kira-kira 10 minit itu.

LPT, Karak

Pengarahnya Nik Fauzi Nik Hussein berkata tindakan segera untuk membersihkan laluan berkenaan telah diambil dan boleh digunakan sepenuhnya kira-kira 4.15 petang.

"Kita akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang," katanya.

LPT, Karak

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Morni Mamat berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu daripada orang awam kira-kira 4 petang, dan sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.