KULIM: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangi terlibat dalam nahas dengan sebuah van di Jalan Taman Mutiara Biru, Sungai Kob, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Redzuan Salleh berkata, polis menerima laporan pada jam 10.23 malam, terdapat kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dengan sebuah van jenis Toyota Hiace.

Katanya, kejadian berlaku ketika motosikal ditunggangi lelaki berusia 20 tahun itu datang dari arah Taman Mutiara Hijau menghala ke Taman Mutiara Biru manakala van datang dari Jalan Taman Mutiara Biru ke Jalan Mutiara 4.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu van berusia 30 tahun itu sedang membelok menuju ke simpang kanan manakala motosikal yang ditunggangi remaja itu sedang bergerak lurus, tidak sempat mengelak, lalu melanggar bahagian hadapan van terbabit.

“Akibat daripada pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke atas jalan dan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Foto PDRM

Redzuan berkata, pemandu van bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua penunggang motosikal dan pemandu van mempunyai lesen memandu yang sah.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Foto PDRM