JOHOR BAHRU: Seorang remaja ditemui lemas manakala ibunya masih hilang selepas terjatuh ke dalam laut di Jalan Danga Bay berhampiran Country Garden di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd Suhaimi Jamal berkata, mayat remaja lelaki 16 tahun itu ditemui Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dalam jarak lebih kurang tiga meter dari lokasi mangsa dikatakan tergelincir.

Katanya, pasukannya masih meneruskan pencarian ibu remaja itu yang berusia 37 tahun.

Nyawa anda berharga, dapatkan bantuan.

"Pihak kami menerima panggilan jam 5.35 petang berhubung kejadian.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, menurut saksi terdapat seorang perempuan dan seorang remaja lelaki telah terjun ke dalam laut dari tebing.

"Ketinggian tebing daripada laut 9.14 meter. Mangsa remaja itu telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi pencarian mangsa kedua masih dijalankan di sekitar tebing," katanya.



*Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.