SUNGAI SIPUT: Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Isnin memerintahkan remaja berusia 17 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh Nuraina Humaira Rosli, 10.

Perintah reman sehingga 25 Ogos itu dikeluarkan Majistret Nurul Asyifa Redzuan selepas permohonan pihak polis.

Suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.30 dengan berpakaian baju T biru gelap dan berseluar sukan sebelum dibawa keluar daripada mahkamah sekitar 15 minit kemudian.

Pada Ahad, polis menahan suspek yang juga saudara terdekat mangsa di rumahnya di Kuala Mu, kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dirogol kerana bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat kecederaan akibat tekanan di bahagian leher dan koyakan pada bahagian kemaluan mangsa.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu mempunyai masalah pendengaran dan lembam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Nuraina Humaira yang dilaporkan hilang sejak Jumaat ditemui mati di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput pada Sabtu.