Ringkasan AI
- Hukuman dan Rayuan: Syed Saddiq dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas empat pertuduhan, tetapi Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan.
- Pertuduhan Pecah Amanah dan Salah Guna Harta: Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada untuk menyalahgunakan dana RM1 juta dan menyalahgunakan wang RM120,000 untuk kepentingan sendiri.
- Pengubahan Wang Haram: Syed Saddiq juga menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram dengan memindahkan wang haram RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
"Mahkamah turut menetapkan 15 Jan untuk pengurusan kes bagi mengetahui status lengkap rekod rayuan dan pihak-pihak perlu memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 4 Mac depan,” katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq ketika dihubungi mengesahkan penetapan tarikh pendengaran rayuan kes itu.
Syed Saddiq, 32, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Nov tahun lepas yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bekas Presiden MUDA itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.
-- BERNAMA