Lebih 500 etnik Rohingya terpaksa berpatah balik ke Bangladesh selepas hampir sebulan berada di laut, kerana bimbang ditahan penguat kuasa negara ini.

Mereka sudah menghampiri perairan Malaysia sebelum ini, bagaimanapun, kemudiannya kembali semula ke Bangladesh, kata Presiden Persatuan Rohingya Kedah/Perlis, Yussof Ali.

Menurutnya, mereka antara kumpulan yang datang bersama etnik Rohingya yang mendarat di Langkawi, 4 April lalu.

Bagaimanapun, katanya, ejen yang membawa mereka telah berpatah balik selepas dipercayai tidak dapat memasuki perairan negara ekoran kawalan ketat pihak berkuasa di sempadan Malaysia.

Kata Yussof, kesemua yang berada di dalam bot itu berusia antara 20 dan 35 tahun, terdiri daripada lelaki dan wanita, dan kebanyakannya telah membayar sekitar RM10,000 hingga RM15,000 setiap seorang.

"Bila patah balik, saya dengar ada yang mati, dekat 100 lebih. Sekarang, sampai sempadan Bangladesh, tidak dibenarkan naik.

"Ejen bawa bot kecil sampai bot besar, minta bayaran sehingga RM15,000. Lebih kurang 15 orang yang tidak boleh bayar. Apabila tidak boleh bayar, mereka minta minum air, tetapi disuruh balik ke Malaysia," katanya.

Jelas Yussof, ejen yang membawa mereka didakwa telah meminta lagi wang tambahan sekiranya mereka ingin datang ke Malaysia.

Malah, yang menjadi kebimbangannya, semua pelarian itu tidak diberi makanan dan minuman sepanjang pelayaran.




Justeru, beliau merayu campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak berkuasa Bangladesh, Thailand dan Malaysia agar bekerjasama menjejaki kumpulan sindiket terbabit serta menangkap mereka.

"Apabila mereka patah balik, kalau contohnya atas bot ada 200 sehingga 300 orang, setengah daripada mereka boleh mati," ujarnya.

Pada 4 April lalu, sebuah bot yang membawa 202 orang warga Rohingya telah ditahan Maritim Negeri Kedah dan Perlis, ketika menceroboh perairan Langkawi.

Kesemua ditahan terdiri daripada 152 orang lelaki, 45 wanita, empat kanak-kanak lelaki, seorang kanak-kanak perempuan.