IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak telah merampas 275,111 liter diesel bersubsidi bernilai RM577,087 menerusi Ops Tiris dalam tempoh Januari hingga Ahad lepas.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata ia merupakan peningkatan 82.82 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu sejumlah 109,786 liter diesel bersubsidi dirampas dengan nilai RM315,650.

"Pihak kami telah mengambil tindakan terhadap 341 kes dengan pelbagai kesalahan yang mana rampasan minyak diesel bersubsidi antara kesalahan tertinggi setakat ini.

"Kita juga berjaya menumpaskan sindiket yang menyeleweng diesel bersubsidi ini termasuk di daerah Manjung dan Ipoh," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Raikan Kemeriahan Aidilfitri Bersama Komuniti Pengguna Perak dan Rakan Strategik KPDN di Bangunan Persekutuan Greentown di sini, semalam.

Katanya, sindiket menyeleweng diesel bersubsidi itu biasanya menggunakan lori untuk mengisi diesel di stesen minyak dan menjualnya dengan harga komersil yang kebanyakannya dihantar ke Pulau Pinang.

Kamalludin berkata pihaknya akan mempergiat operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan berdasarkan risikan serta maklumat orang awam.

-- BERNAMA