Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, dengan teknologi yang ada ketika ini, ramalan cuaca hanya boleh dikeluarkan seawal 10 hari sebelum ia berlaku sahaja.
"Daripada formula yang saintis dapat, dia akan masukkan dalam model cuaca dan daripada situ dia perlu mulakan pengiraan berdasarkan data-data cuaca yang ada dan keluarlah ramalan yang kita terima.
"Untuk mengelakkan ramalan yang tidak tepat, model cuaca itu sentiasa dikemas kini, maklumat sentiasa berubah sebab kita terima maklumat sepanjang masa," katanya dalam program Agenda AWANI, pada Jumaat.
Jelasnya, pihak METMalaysia akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan mengemaskini maklumat, namun ia bukanlah untuk mengelakkan daripada berlakunya banjir.
"Kadang-kadang kita buat jangkaan sampai tiga bulan ke depan, kita boleh dapat gambaran berdasarkan maklumat sekarang. Tetapi kalau keadaan sebenar yang berlaku adalah beberapa hari sebelum kejadian, itu saja maklumat kita boleh bagi.
"Kita bekerjasama erat dengan NADMA, apabila Monsun Timur Laut, setiap hari ada buat perbincangan untuk tentukan cuaca kita seminggu ke depan.
"Apabila kita nampak ada tanda-tanda keadaan yang membolehkan hujan lebat berlaku, kita mula keluarkan ramalan dan amaran, biasanya amaran bergantung kepada complexity satu ke tiga hari ke depan," jelasnya.
Tambahnya, bencana banjir kilat mungkin boleh diatasi dengan pengurusan alam sekitar yang lebih efisyen, namun banjir berskala besar akibat perubahan monsun adalah situasi yang tidak dapat dielakkan.
Justeru, pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan NADMA dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam usaha meminimumkan kesan buruk akibat banjir.