IPOH: Mangsa banjir di Perak menunjukkan peningkatan dengan 405 orang daripada 117 keluarga ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi.

Menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah pada Ahad, terdapat tiga daerah yang terjejas banjir iaitu Kerian, Kuala Kangsar dan Hulu Perak.

Katanya, sebanyak 12 kawasan yang dinaiki air itu membabitkan Kampung Matang Tengah, Kampung Beriai, Kampung Air Itam 2, Kampung Parit Ali Kalang, Kampung Beriah, Batu 40, Kampung Selekoh Matang Pasir.

Selain itu, Kampung Air Panas, Kampung Lasah, Kampung Tok Sirat, Pekan Lasah dan Kampung Chenein.

Mangsa banjir di Kerian melibatkan 111 orang daripada 35 keluarga, Kuala Kangsar 258 orang daripada 71 keluarga dan Hulu Perak pula 36 orang daripada 11 keluarga.

PPS merangkumi SK Changkat Lobak, SK Parit Haji Aman, SMK Sultan Idris Shah II, Sekolah Kebangsaan Lasah, Dewan Pandak Hamid dan SMK RLKT Lasah.

Sementara itu, pada Isnin Jabatan Meterologi Malaysia menjangkakan hampir semua daerah di negeri ini akan hujan pada sebelah petang dan malam.