ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan untuk mengurniakan 1,200 kotak sumbangan kurniaan Keluarga Diraja Kedah kepada rakyat yang kurang berkemampuan di negeri itu bertujuan untuk meringankan bebanan mereka.

Menerusi kenyataan Pejabat Tuanku Sultan Kedah, kurniaan berkenaan yang berisi barangan keperluan asas diberikan kepada keseluruhan 12 daerah di negeri Jelapang Padi itu yang mana ia akan diagihkan menerusi Pegawai Daerah masing-masing.

Inisiatif itu bertujuan membantu golongan yang memerlukan selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan Ramadan.

Tambah kenyataan terbabit, simbolik pengurniaan sumbangan itu diadakan semasa Majlis Kurniaan Keluarga Diraja Sultan Negeri Kedah dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Tuanku Sultan Kedah yong berlangsung di Balai Santapan Besar, Istana Anak Bukit, Alor Setar pada Khamis.

Turut berangkat Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Majlis berkenaan dianjurkan bagi menzahirkan tanda penghargaan dan keprihatinan Sultan Kedah terhadap rakyat khususnya ketika Ramadan.

Ia juga adalah untuk meneruskan tradisi institusi Diraja negeri itu dalam mengeratkan hubungan dengan masyarakat.