Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dalam perutusan sambutan Krismas dan tahun baharu, turut menyeru rakyat Malaysia untuk sentiasa berbuat ihsan pada waktu yang mencabar ini terutamanya kepada mereka yang paling memerlukan.
Beliau berkata sejak seminggu lepas, rakyat Malaysia dikejutkan dengan tragedi di Batang Kali yang telah mengorbankan banyak nyawa termasuk kanak-kanak.
"Seluruh negara, kita benar-benar terkejut dan sedih dengan kejadian itu. Takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa," katanya.
Nancy berkata negara turut menyaksikan banyak negeri terjejas banjir sepanjang minggu ini terutama di Kelantan dan Terengganu apabila puluhan ribu penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
"Kami berdoa agar mereka yang terjejas akan terus tabah menghadapi masa-masa yang sukar ini," katanya.
Beliau juga berkata segala kedukaan itu hanyalah sementara dan ia akan berlalu.
Nancy bagi pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada yang meraikannya dan Selamat Tahun Baharu kepada semua rakyat Malaysia.
"Semoga Tahun Baharu ini memberi kita keamanan, kegembiraan dan kebahagiaan," katanya.
Turut sependapat dengan Nancy ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) Mohamad Sabu yang mengingatkan rakyat Malaysia supaya dalam keseronokan meraikan Krismas, mereka tidak lupa kepada nasib saudara-mara serta kawan-kawan yang sebahagiannya menjadi mangsa banjir.
"Sama-samalah kita hulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka," katanya dalam catatan di Facebook beliau hari ini.
Mohamad turut mengingatkan rakyat Malaysia memanfaatkan sebaiknya cuti panjang sempena Krismas untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih serta merakamkan sanjungan dan penghargaan kepada warga kerja MAFS yang terpaksa mengorbankan cuti membantu mangsa banjir di pantai timur.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming menerusi satu hantaran video di Twitter mengingatkan orang ramai supaya menjaga diri dan keselamatan terutamanya ketika mereka berada di jalan raya.
"Semoga keharmonian, persefahaman dan kasih sayang dapat terus kita pelihara dan nikmati bersama. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2023 buat seluruh keluarga KPKT.
"Ayuh bersama kita tingkatkan usaha dan keazaman untuk terus memacu KPKT sebagai sebuah kementerian yang berprestasi tinggi, mesra rakyat, unggul dan cemerlang," katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di laman Facebooknya mengucapkan: 'Merry Christmas everyone from me to you and everyone in your household!' (Selamat Hari Krismas semua daripada saya kepada anda dan semua ahli keluarga!).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus bekerja dan menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka untuk negara biarpun dalam musim perayaan.
"Saya berterima kasih kepada mereka yang terus bekerja memastikan negara terus bergerak ke hadapan ketika kebanyakan daripada kita bercuti, mereka pihak polis, agensi kerajaaan, pekerja syarikat kereta api, pemandu teksi dan e-haling serta penghantar p-hailing. Terima kasih kerana pengorbanan anda," katanya dan pada masa yang sama mengingatkan rakyat Malaysia supaya menunjukkan simpati dan membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang pula menyeru agar rakyat Malaysia merebut peluang sempena sambutan perayaan ini bagi menyebarkan mesej kebersamaan dan persefahaman sekali gus, meraikan kepelbagaian dalam negara.
Turut mengucapkan Selamat Hari Krismas ialah Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
-- BERNAMA