Rakyat Malaysia di Perancis terutamanya di Paris dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan siri serangan di kota raya itu pada Jumaat.

Kedutaan Malaysia di Perancis juga meminta mereka supaya sentiasa berhati-hati dengan keadaan di sekeliling mereka dan mematuhi nasihat pihak berkuasa tempatan.

Tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera atau terbunuh dalam kejadian itu, kata kedutaan itu dalam laman webnya hari ini.

“Kerajaan Perancis telah mengisytiharkan darurat di Perancis. Ini bermakna keselamatan ditingkatkan kepada tahap maksimum dan pasukan keselamatan telah ditempatkan di seluruh negara.

“Berikutan arahan ini, lebih ramai pegawai penguatkuasaan undang-undang dan pasukan bersenjata ditempatkan di Perancis khususnya di Paris. Kawalan keselamatan di sempadan juga diperketatkan," kata Kedutaan Malaysia.

Sementara itu, kesemua pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Paris selamat berikutan insiden serangan di Paris.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara Abdul Halim Abas enggan memaklumkan jumlah keseluruhan pelajar Malaysia yang menuntut di sana.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterimanya, tiada insiden yang melibatkan pelajar Malaysia ketika serangan itu berlaku.

“Pelajar Malaysia berada jauh dari lokasi kejadian dan pihak Mara akan menyalurkan maklumat terkini mengenai keadaan pelajar di sana,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata pegawai Mara sentiasa memantau keadaan dan keselamatan pelajar untuk mengetahui status terkini di sana.

Sehubungan itu, ibu bapa dan pelajar dinasihatkan supaya tidak bimbang tentang keselamatan dan sentiasa berhubung antara satu sama lain.