KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa rakyat Malaysia  yang melawat atau menetap di rantau Asia Barat, dan masih belum mendaftar dengan Kedutaan Malaysia yang terdekat, agar berbuat demikian dengan segera.


Ringkasan AI
  • Pendaftaran dengan Kedutaan: Kerajaan menggesa rakyat Malaysia yang melawat atau menetap di rantau Asia Barat agar mendaftar dengan Kedutaan Malaysia yang terdekat. Langkah ini memudahkan bantuan konsular dan memastikan keselamatan warganegara terpelihara.
  • Pantauan Perkembangan Semasa: Kementerian Luar sedang memantau perkembangan di rantau Asia Barat. Malaysia menyeru kepada gencatan senjata di Gaza dan memberi komitmen menjaga keselamatan warganegara.
  • Berwaspada dan Mengikuti Perkembangan: Rakyat Malaysia yang berada di rantau tersebut dinasihatkan untuk berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.


Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata langkah tersebut bagi memudahkan pihak kedutaan untuk memanjangkan bantuan konsular dengan segera, sekiranya perlu.

Kementerian itu menambah pihaknya sedang memantau rapi perkembangan semasa di rantau Asia Barat.

"Malaysia secara berterusan telah menyeru kepada gencatan senjata di Gaza dan supaya semua pihak yang terlibat untuk meredakan ketegangan supaya situasi ini tidak merebak.

"Mengambil kira perkembangan ini, Kerajaan Malaysia komited dalam memastikan keselamatan semua warganegara Malaysia terus terpelihara," kata Kementerian Luar hari ini.

Jelas Kementerian Luar lagi, Kerajaan Malaysia melalui Pejabat-pejabat Kedutaannya terus berhubung rapat dengan rakyat yang telah berdaftar, dan bantuan konsular akan disalurkan dengan segera sekiranya diperlukan.

Katanya, rakyat Malaysia yang bermastautin atau melancong ke rantau tersebut juga dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.

Senarai Pejabat Kedutaan Malaysia di luar negara boleh diperoleh melalui laman sesawang Kementerian Luar Negeri di www.k/n.gov.my.