MIRI: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menangis ketika menzahirkan rasa terharu dengan sambutan penduduk Sabah meraikan keberangkatan tiba baginda dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa penjelajahan terakhir Kembara Kenali Borneo di negeri itu semalam.

Menerusi hantaran di Instagram Istana Negara hari ini, berkongsikan video yang memaparkan Tunku Azizah menangis melihat kesanggupan rakyat Sabah menanti keberangkatan tiba baginda berdua dalam cuaca hujan lebat semasa perjalanan pasangan diraja itu dari Kota Kinabalu ke Sepitang, destinasi terakhir konvoi sebelum memasuki Lawas, Sarawak.

"Sabah 'menangis', saya juga turut menangis, rakyat menangis, langit menangis tetapi mereka masih tetap di luar sana dalam hujan lebat. Saya sudah separuh basah kerana saya buka tingkap.

"Terima kasih banyak-banyak. Tuanku (Al-Sultan Abdullah) dan saya akan mengenang perkara ini sepanjang hayat kami... Kami minta maaf dan kami rasa bersalah kepada rakyat yang menunggu di luar sana dalam hujan kerana kami tidak boleh keluar dan bertemu dengan mereka.

"...hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas dan Tuanku dan saya doakan semua orang tak sakit, tak demam sebab tunggu dalam hujan begitu lama," titah Tunku Azizah dalam video berdurasi kira-kira 40 saat itu yang dirakamkan sendiri oleh baginda.

Hantaran video itu menerima lebih 200,000 tontonan manakala ruangan komen dipenuhi kenyataan positif dan penghargaan atas keprihatinan Seri Paduka berdua.

"Saya antara yang berhujan semalam di pekan Beaufort menanti ketibaan Tuanku berdua. Walaupun hujan lebat, sampaikan ada payung terbalik tapi kami tetap setia menanti.

"Teruja nampak Tuanku Permaisuri menangis semalam. Kami sayang Tuanku, Raja kami," komen pengguna Instagram dengan nama @n_sal16.

"Apabila rakyat sudah terlalu sayang. Tak kisah hujan panas," menurut @lockmayphotography dalam ruangan komen di hantaran berkenaan.

Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan akan berakhir di Telok Melano, Sarawak adalah program penjelajahan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

-- BERNAMA