Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar pihak Imigresen mempertimbangkan pemberian insentif kepada orang ramai yang memberi maklumat sahih sehingga tertangkap dalang sindiket penyeludupan manusia.

Baginda bertitah ia penting untuk diberi perhatian atas dasar bagi menghargai inisiatif serta keberanian mereka membantu anggota penguat kuasa dengan menyalurkan maklumat selain mempunyai semangat memelihara benteng keselamatan negara.

"Imigresen juga perlu memperkenalkan mekanisme berkesan bagi memastikan keselamatan dan kerahsiaan pemberi maklumat agar meningkatkan keyakinan orang ramai untuk berani tampil memberi maklumat mengenai sebarang kegiatan penyeludupan," titah baginda.

Baginda bertitah pada majlis santapan malam bersempena 'Program Institusi Raja dan Imigresen Memartabatkan Kedaulatan, Keselamatan dan Kesejahteraan Rakyat dan Negara' anjuran Jabatan Imigresen Malaysia di Kompleks Terinai, Empangan Timah Tasoh malam tadi.

Keberangkatan baginda disambut oleh Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali yang turut membaca 'Pengistiharan Ikrar Taat Setia' Jabatan Imigresen Malaysia yang kolektif dan berterusan, akan memelihara kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Plak perisytiharan tersebut telah dipersembahkan kepada Tuanku Raja Muda sebelum itu di majlis sembah mengadap yang diadakan di Bilik DiRaja Kelab Golf Putra (KGP) Sungai Batu Pahat di sini.

Tuanku Syed Faizuddin turut meminta kerjasama seluruh rakyat terutama yang tinggal di sempadan negara supaya tidak sekaki-kali terlibat dengan sebarang sindiket penyeludupan manusia semata-mata untuk mengecapi kemewahan dengan cara yang mudah.

Baginda bertitah rakyat seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan dengan melaporkan aktiviti-aktiviti yang melanggar peraturan dan undang-undang berkaitan secepat mungkin.

"Kita perlu faham dalam perspektif Malaysia hari ini, perkembangan ekonomi yang tidak kurang rancaknya dan keamanan yang dikecapi menarik minat golongan ini (warga asing) untuk datang ke negara ini bagi mendapat pekerjaan.

"Sebarang kegiatan penyeludupan boleh menjejaskan imej negara selain menyebabkan kehilangan hasil cukai dan hak rakyat. Jadi semua pihak perlu menggalas tugas membanteras permasalahan ini dari melarat," titah baginda.

Terdahulu Mustafar turut serta dalam program 'Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf' kali kesembilan bagi tahun ini sejauh 10 kilometer serta singgah dan meninjau Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Malaysia dan juga Thailand di Wang Kelian.

-- BERNAMA