Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullal Khamis berbasikal sejauh 15 kilometer untuk berangkat menziarahi Rumah Sejahtera di Kampung Batu Bertangkup dekat sini.

Baginda memulakan kayuhan dari kawasan industri kecil dan sederhana Batu Bertangkup, melewati beberapa kampung tradisional sebelum tiba di Rumah Sejahtera yang dikendali Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia serta dihuni empat warga emas berumur lebih 60 tahun.

Selepas menyampaikan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM400, Raja Muda beramah mesra dengan penghuni rumah berkenaan iaitu Omar Abdullah, Othman Ismail, Abd Rahman Talib dan Mat Saad Mat Isa.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Yang Dipertua MAIPs, turut melawat Bengkel Orang-Orang Kurang Upaya Batu Bertangkup.

Lawatan itu sebahagian daripada pengisian program berbasikal mingguan baginda ke kawasan kampung bagi melihat lebih dekat kehidupan masyarakat dan berakhir dengan baginda bertemu penduduk pada majlis minum petang di kampung berkenaan.

Turut menyertai kayuhan itu Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid dan Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron.