Sebagai anak Pahang, banyak kenangan manis dikongsi selepas Najib menjadi Menteri Besar (Ketua Menteri) Pahang dari tahun 1982 dan 1986 dan Almarhum menjawat jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh.
Kata Najib, beliau bersyukur kerana sering kali berkesempatan berkongsi keprihatinan, mendapat tunjuk ajar dan nasihat dari Almarhum Sultan.
"Nasihat Tuanku sentiasa - sayangi rakyat. Rakyat Malaysia, khususnya orang Pahang tahu Tuanku seorang yang amat berjiwa rakyat. Tuanku kerap mencemar duli berjumpa dengan rakyat.
"Ya, Tuanku seorang yang rendah diri dan tidak mengira darjat atau protokol," katanya melalui entri terbaharu di Facebook peribadinya, hari ini.
Menurut Najib, memang benar apa yang dikatakan bahawa istilah “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” dipegang erat oleh Tuanku.
"Di mana ada rakyat yang memerlukan, di mana ada kesusahan, di mana diperlukan pembangunan, Tuanku berada di sana untuk bersama-sama kepimpinan kerajaan memastikan kelancarannya.
"Sumbangan dan dedikasi Tuanku kepada kesejahteraan rakyat Pahang kepada kemajuan ekonomi Pahang malah kepada sukan bola sepak sehingga ke peringkat antarabangsa, amat dihargai dan akan dikenang selamanya," tambahnya.